Wednesday, 23 May 2012

Personaliti Kuiz

Anda ingin mengetahui personaliti anda? Adakah anda seorang 'kaki membeli-belah' ataupun shopaholic? Mari cuba kuiz personaliti yang telah admin sediakan ini. 









Artikel Pengguna


Pengumpulan artikel pengguna dari pelbagai sumber. Khas untuk pengunjung blog semua. Hanya klik pada link tersebut.

Hak Pengguna Dan Konsumerisme

Secara konseptual, pengguna adalah orang yang menggunakan barang dan perkhidmatan. Mereka menggunakan wang sebagai alat pertukaran untuk mendapatkan barang dan perkhidmatan yang diperlukan oleh mereka.

Sebagai pengguna yang bijak, kita harus mengetahui kelapan-lapan hak pengguna. Apakah hak-hak tersebut? Mari kita ketahuinya :-

1. Hak Untuk Mendapatkan Keperluan Asas
2. Hak Untuk Mendapatkan Keselamatan
3. Hak Untuk Mendapat Maklumat
4. Hak Untuk Bersuara
5. Hak Untuk Mendapatkan Pendidikan Pengguna
6. Hak Untuk Mendapat Ganti Rugi/Pampasan
7. Hak Untuk Hidup Dalam Alam Sekitar Yang Bersih
8. Hak Untuk Memilih Barang/Perkhidmatan

Tanggungjawab Pengguna Pada Diri Sendiri
1. Membeli secara bijak dan rasional
2. Merancang Sebelum Berbelanja
3. Membaca Label Barangan
4. Sedar Dan Peka Tentang Adanya Barangan Tiruan
5. Bertanggungjawab Mendapat Penidikan Pengguna
6. Sedar Tentang Perlindungan Pengguna

Tanggungjawab Pengguna Pada Masyarakat
1. Mempunyai Kesedaran Sosial
2. Menubuhkan Persatuan Pengguna
3. Memberikan Pendidikan Pengguna Kepada Pengguna Lain
4. Menjaga Alam Sekitar

Tuesday, 22 May 2012

Hasil Tumblr

Hasil inspirasi dari Typography. Tajuk, Berhenti Membeli Belah, Mulakan Kehidupan.














Saturday, 19 May 2012

Masa Untuk Berjimat Cermat


KUALA LUMPUR, 19 Julai - Kenaikan tarif elektrik yang diumum kerajaan berkuatkuasa 1 Jun lepas mungkin belum memberi banyak kesan kepada kebanyakan pengguna.
  
Bagaimanapun, mungkin sudah ada yang tidak lena tidur memikirkan cara untuk mengurangkan perbelanjaan dalam menjangkakan kenaikan harga barang dan perkhidmatan, ekoran kenaikan tarif elektrik itu.

Sikap yang positif ini dilihat amat perlu supaya tidak perlu menokok hutang yang mungkin sudah hampir mengelilingi pinggang.

Bagi mereka yang mempunyai keluarga besar, beban kewangan sudah pastinya berlipat ganda. Jika tersilap langkah dalam perhitungan berbelanja, alamat duit gaji atau upah yang diperoleh mungkin hanya cukup menampung keperluan sampai ke pertengahan bulan.

Mungkin ada juga yang baru dapat gaji sudah mengeluh wang yang diperoleh tidak mencukupi dan terpaksa berhutang, melayangkan kad kredit ketika membeli-belah atau mencari pinjaman peribadi daripada ceti haram atau ahlong!

ZON SELESA 
Tidak dapat tidak, langkah yang perlu diambil ialah untuk mengubah suai perbelanjaan "menyediakan payung sebelum hujan" atau "beringat sebelum kena berjimat sebelum habis."

Namun, bagi sesetengah pihak, cakap mungkin lebih mudah daripada untuk melakukannya tambahan apabila membabitkan barang keperluan dan jika tidak mempunyai banyak pilihan.

"Pengguna telah berada dalam keadaan selesa sejak sekian lama kerana harga barang yang boleh dikatakan masih rendah disebabkan oleh pemberian subsidi kerajaan.

"Ketika itu, kerajaan masih mampu untuk menampungnya, jadi tidak ada masalah.

"Namun apabila kerajaan tidak dapat lagi menampung kerana jumlah yang ditanggung adalah besar, maka kerajaan perlu mengkaji semua pemberian subsidi itu," kata Mohd Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi Kumpulan, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) kepada Bernama di sini baru-baru ini apabila diminta mengulas isu semasa kepenggunaan berhubung kenaikan tarif elektrik dan kesan kepada pengguna.

PASARAN GLOBAL
Umum mengetahui Malaysia masih bergantung kepada import bahan makanan mentah.

Keadaan ekonomi yang tidak menentu di peringkat global berpunca daripada ketidakstabilan politik serta perubahan iklim di negara pengeluar bahan makanan mentah akan menyebabkan berlaku peningkatan harga.

"Memandangkan sebahagian besar daripada bahan makanan mentah adalah diimport, dalam kebanyakan keadaan kerajaan tidak dapat mengawal kedudukan harga barang. Hal yang sama juga berlaku kepada bahan api," kata Mohd Yusof.

Rakyat bukan sahaja perlu diperjelaskan tentang mekanisme pasaran dalam menentukan harga barang tetapi juga diberi kefahaman kesan kenaikan harga di peringkat antarabangsa kepada tanggungan subsidi.

"Dalam masa yang sama kerajaan perlu memaklumkan kepada rakyat tentang perancangan kerajaan bagi membantu golongan miskin dan yang berpendapatan rendah termasuk golongan berpendapatan pertengahan yang mempunyai banyak tanggungan apabila satu-satu subsidi itu dimansuhkan.

"Ini termasuk skim mewujudkan skim jaringan sosial yang mantap, penaiktarafan sistem pengangkutan awam yang baik dan bersepadu dan sebagainya," kata Mohd Yusof.

JANGAN HARAP SUBSIDI
Subsidi yang dikeluarkan kerajaan sebenarnya bertujuan untuk membantu golongan sasaran menikmati harga pada paras yang rendah, namun subsidi yang diberikan bersifat menyeluruh yang turut dinikmati oleh golongan berada dan warga asing yang menetap di Malaysia.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan subsidi yang besar apabila berlaku perubahan harga bahan mentah di peringkat global.

Kerajaan menyediakan peruntukan RM23.7 bilion atau 14.6 peratus daripada perbelanjaan mengurus untuk keseluruhan subsidi tahun ini.

Bagi mengekalkan harga runcit petrol RON95, kerajaan terpaksa menambah peruntukan subsidi petroleum, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) sebanyak RM5.6 bilion daripada RM10.3 bilion kepada RM15.9 bilion.

Peruntukan subsidi minyak masak di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak juga ditambah RM700 juta daripada RM928 juta kepada RM1.6 bilion.

Untuk subsidi gula pula, meskipun harga bahan itu dinaikkan 20 sen Mei lalu, kerajaan masih menanggung subsidi gula sebanyak RM283 juta.

HEMAT BERBELANJA
Lazimnya bila menjelang musim perayaan pengguna akan berbelanja lebih daripada biasa. Ada yang merasa tidak lengkap berhari raya umpamanya jika tidak berpakaian baru dan menggantikan peralatan rumah.

Mohd Yusof berpendapat dalam menghadapi keadaan cabaran harga barang yang meningkat, pengguna perlu berhemat dalam perbelanjaan mereka.

"Buat perancangan perbelanjaan terlebih dahulu yang mengikut kemampuan.

"Kumpul wang untuk perbelanjaan musim perayaan pada awal bulan dengan menetapkan matlamat jumlah wang yang diperlukan semasa musim perayaan.

"Ini termasuk perbelanjaan membeli keperluan, makanan, perjalanan pulang ke kampung dan sebagainya," katanya.

Bagi umat Islam yang akan menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan yang menjelang tiba, Mohd Yusof turut mengingatkan supaya mengelakkan pembaziran.

"Banyak berlaku pembaziran di bulan Ramadan termasuk ketika membeli juadah untuk berbuka puasa. Ingat untuk membeli mengikut keperluan sahaja.

"Jika mahu membeli barang keperluan, buat senarai untuk mengelakkan pembelian yang tidak perlu dan bawa wang yang setakat cukup untuk senarai barang yang disediakan," katanya.

SEDARKAN PENGGUNA
Sebagai sebuah pertubuhan kepenggunaan, Fomca, menurut Mohd Yusof sentiasa berusaha untuk memberi kesedaran kepada masyarakat pengguna di negara ini.

Ia termasuk menyedarkan mereka tentang peranan yang boleh dimainkan dalam menghadapi kenaikan harga barang.

Satu daripada usaha Fomca ialah Kempen Konsumer Kebangsaan yang diadakan dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia, Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cupeacs) dan Petronas.

Mohd Yusof berkata tema kempen yang dilancarkan pada 2008 dan berakhir 2012 itu ialah "Perubahan Bermula Dengan Saya."

Fomca juga, katanya, turut mengadakan program jangkauan di peringkat komuniti.

Sebanyak 201 program seumpama ini diadakan di seluruh negara pada 2010 berbanding 171 program pada 2009.

Di samping itu, Fomca turut mengadakan kerjasama dengan Bank Negara Malaysia bagi program Celik Kewangan.

"Program ini diadakan disebabkan oleh masalah golongan eksekutif muda yang gagal menguruskan kewangan mereka sehingga ada yang diisytiharkan muflis.

"Menurut kajian hampir 50 peratus golongan muda yang diisytihar muflis adalah kerana kad kredit," katanya sambil menambah golongan muda ini mungkin terperangkap dengan penggunaan kad plastik ini ketika menuntut di institut pengajian tinggi lagi.

Ramai anak muda, katanya berbelanja mewah dengan kad kredit yang diberi ibu bapa dengan jangkaan mereka akan membayar hutang kad kredit apabila tamat pengajian dan menyandang jawatan tinggi.

"Malangnya ada yang menganggur walau pun sudah ada ijazah di tangan dan terperangkap dengan beban hutang kad kredit," katanya.

BUAT PERUBAHAN
Sesungguhnya pengguna di negara ini semakin perlu meneliti kemampuan kewangan mereka sebelum berbelanja.

Perancangan perbelanjaan dilihat sebagai penting bagi memastikan mereka hanya membeli barang yang benar-benar diperlukan.

Mereka juga perlu melakukan perubahan sebelum berdepan dengan kenaikan harga barang terutama menjelang musim perayaan.

Menanam sendiri sayur-sayuran termasuk menggunakan pasu bagi mereka yang tidak mempunyai kawasan bertanah mungkin dilihat remeh.

Bagaimanapun, jika ia dilakukan bersungguh-sungguh tidak mustahil usaha kecil ini jika diperluaskan dapat membantu mengurangkan perbelanjaan dan menyejukkan persekitaran.

Selain daripada pembangunan fizikal yang mencerminkan sebuah negara maju selaras dengan aspirasi Wawasan 2020, perubahan sikap juga perlu berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Rakyat Malaysia juga perlu menjadi semakin bertanggungjawab serta tahu melakukan pengubahsuaian diri dalam menghadapi sebarang keadaan yang berlaku di sekeliling mereka," kata Mohd Yusof.

Sumber : Bernama
             http://pengguna.blogspot.com/2011/07/masa-untuk-berjimat-cermat.html

Elak Belanja Berlebihan Guna Kad Kredit


SEREMBAN 7 Ogos - Penjawat awam di negeri ini diingatkan supaya mengelak budaya belanja berlebihan menggunakan kad kredit sehingga terpaksa berhadapan tindakan undang-undang.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi berkata, pihaknya menerima banyak aduan berhubung perkara tersebut terutama di kalangan pegawai muda.

''Banyak aduan yang kita terima tentang kakitangan kerajaan terutama pegawai-pegawainya yang terlibat dengan penggunaan kad kredit tanpa had.

''Maksudnya mereka berpendapatan kecil tetapi sanggup menggunakan kad kredit untuk berbelanja lebih daripada kemampuan sendiri," kata beliau di sini hari ini.

Kata beliau, setiap pengguna harus mengekang penggunaan kad kredit itu demi memastikan mereka tidak terjebak dengan hutang yang berlebihan sehingga menyebabkan kehidupan menjadi tertekan.

''Ketika berbelanja memang seronok tetapi mereka juga harus menyedari bahawa kadar faedah yang dikenakan juga tinggi. Bila sudah tertunggak, akhirnya mereka cuma bayar faedah. Hendak bayar semuanya, duit tak ada.

''Lebih mengejutkan ada juga yang sanggup meminjam kepada ah long semata-mata untuk melangsaikan hutang tersebut yang seterusnya menjerumuskan mereka ke kancah beban hutang yang lebih buruk," tambah beliau.

Menyentuh tentang aduan penguna, kata beliau, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan negeri dari 1 Januari sehingga 31 Julai menerima sebanyak 247 aduan berhubung pelbagai isu kepenggunaan.

"Aduan yang paling tinggi membabitkan penipuan perkhidmatan iaitu sebanyak 75 aduan antaranya melibatkan kes penipuan pakej haji dan umrah, perkhidmatan teksi dan sebagainya.

"Selain itu penipuan harga barang masih berleluasa di kalangan peruncit dan peniaga di negeri ini dengan 48 aduan yang dibawa kepada pihak berkenaan," jelasnya.

Sumber : Utusan Online
             http://www.utusan.com.my/

Elakkan Diri Daripada Boros


Allah menyuruh kita cermat dan berhati-hati dalam urusan duniawi, berpesan supaya memanfaatkan sekadar perlu dan meninggalkan keinginan yang terlampau. Paling utama adalah bersederhana dalam berbelanja iaitu tidak boros dan tidak pula kedekut. Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.” (Surah Al-Furqan, ayat 67) Jika diberi rezeki melebihi keperluan dan tanggungan, sedangkan pada masa sama ada orang lain terlalu berhajat dengan keperluan hidup yang tidak mampu mereka peroleh, jangan kita menyorok tangan, membutakan mata serta tidak mengambil endah tanggungjawab sesama manusia.

Ada kala kita hanyalah perantara yang dilantik Allah untuk membantu sesama makhluk kerana sifat amanah yang ada, bukan berhabisan untuk kepuasan sendiri. Tetapi tentu kita rasa terkilan untuk membantu orang yang tidak tahu berjimat cermat dalam urusan hidupnya.
Contohnya, tiada wang simpanan untuk pendidikan anak, kehidupan pada usia tua, waktu kecemasan, bersedekah, mengembangkan syiar agama kerana terlalu bermewah menyebabkan wang habis sekelip mata. Sebaliknya tidak malu meminta wang dengan orang lain atas nama hutang untuk menanggung kehidupan.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Maka bergembiralah dan berharaplah terhadap apa yang mudah bagimu. Demi Allah, bukanlah kefakiran yang aku khuatirkan atas kamu, tapi aku mengkhuatirkan atas kamu jika dibentangkan dunia untuk kamu seperti pernah dibentangkan bagi orang sebelum kamu, lantas kamu berlumba-lumba merebutnya, lalu membinasakan kamu seperti dulu sudah membinasakan mereka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW sendiri tidak terlalu khuatir jika umat Baginda akan menjadi fakir, tetapi takut jika kita tertipu dengan dunia dihiasi isi yang sementara, hanya penyebab untuk kita ke neraka, dan itulah juga penyebab kita ke syurga, jika bijak membuat pilihan.

Cermat dalam urusan dunia adalah keutamaan umat Islam untuk dijadikan contoh kepada bukan Muslim supaya mereka menyedari moral yang sekecil itu boleh memberi untung besar kepada agama.

Tetapi hari ini ramai suami mengabaikan tanggungjawab kepada isteri kerana tipu daya dunia terutama wanita cantik, arak, judi, hiburan melalaikan, kehidupan sosial yang tiada siapa peduli, memungkinkan mereka memilih jalan tidak halal.

Bahkan ada yang kehilangan nikmat Allah kurniakan kepada mereka di dunia iaitu seorang wanita sebagai isteri dan cahaya mata yang tidak Allah kurniakan kepada semua melainkan mereka yang terpilih kerana tertipu dengan kesesatan dunia.

Begitu juga wanita yang bijak, apa juga peranan mereka mainkan di dunia, mereka perlu bertanggungjawab terhadap amanah.

Tentulah umat Islam tidak rela terpedaya kerana mereka diberikan petunjuk oleh Allah supaya menjauhi kesesatan. Orang yang terpedaya ialah orang yang tidak cermat dalam urusan dunia.

Mereka tidak berjimat jika punya wang, tidak rasa beruntung jika ada masa, tidak berhati-hati apabila berbicara, lalu mereka bazirkan semuanya tanpa rasa bersalah, akhirnya mereka muflis di dunia mahupun akhirat.

Salman Al-Farisi pernah datang kepada Abu Bakar As-Siddiq ketika beliau sakit dan menghadapi kematian lalu berkata: “Berpesanlah kepadaku, wahai khalifah Rasulullah. Abu Bakar menjawab: Sesungguhnya Allah membukakan dunia untukmu kerana itu janganlah sekali-kali seorang antara kamu mengambilnya kecuali sekadar bekal keperluannya saja.”

Rasulullah dan sahabat menunjukkan contoh dan mengajarkan kepada umat Islam mengenai amalan berjimat cermat supaya menjadi ikutan hingga ke akhir zaman.

Sifat boros dalam urusan duniawi patut dijauhi kerana ia adalah amalan syaitan. Alangkah indah jika umat Islam hidup dengan penuh sederhana, harmoni sesama kita dan saling memahami serta membantu dalam urusan dunia.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu sangat kufur kepada Rabb-Nya.” (Surah Al-Israa’, ayat 27)

Sumber : Berita Harian Online
             http://berita-harian-online.com/elak-boros-usah-juga-kedekut/

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Walgreens Printable Coupons