Saturday, 19 May 2012

Jadilah Seorang Pengguna Yang Bijak


Pelbagai kempen mengenai kepenggunaan dilancar dan diperkemas dari semasa ke semasa untuk mendidik pengguna mengenai soal perbelanjaan harian mereka.

Kenaikan tidak menentu harga barang di pasaran membuatkan ramai antara kita melatah dan menuding jari kepada kerajaan.

Mendidik pengguna untuk berjimat-cermat bukannya mudah. Persaingan antara peniaga dan pengguna juga sangat hebat.

Gedung beli-belah mempunyai taktik dan teknik tersendiri untuk mendekatkan pengguna dengan pusat perniagaan mereka.

Perlu difahami bahawa selama ini kedai dan pasar raya sering memikirkan pelbagai cara supaya pengguna berbelanja di tempat mereka termasuk mengadakan jualan murah, potongan harga, berhutang cara mudah, iklan, pameran serta susunan barang yang sangat menarik.
Gedung beli-belah pula berusaha memancing pengguna agar lebih lama berada di premis mereka dengan menyediakan ruang luas, selesa, muzik yang menenangkan perasaan, malah tempat permainan kanak-kanak turut disediakan.

Makin banyak masa seseorang itu berada di premis perniagaan mereka, makin banyak jenis barang yang dibelek kemudian dibeli, meskipun ada antara barang berkenaan tidak tersenarai ketika seseorang pengguna itu berada di rumah.

Pengguna yang bijak, berfikir panjang tidak akan terpengaruh dengan segala macam taktik dan teknik peniaga. Mereka tidak perlu diasak dengan pelbagai kempen supaya berjimat-cermat atau mengalami poket kering sebelum hujung bulan.

Kempen penurunan harga barang akan diadakan secara besar-besaran bermula 15 Jun hingga 31 Ogos 2011. Gedung perniagaan diharap bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menurunkan harga pelbagai jenis barang yang ditetapkan untuk membantu pengguna.

Kempen yang akan berjalan lebih dua bulan ini dianggap paling sesuai memandangkan umat Islam akan menyambut Aidilfitri hujung Ogos nanti.

Selalunya, isu utama yang diperkatakan sejak awal Ramadan hinggalah menjelang hari raya ialah kenaikan mendadak pelbagai jenis barang keperluan yang membebankan pengguna.

Bagaimanapun, apa yang dikhuatiri ialah benarkah kempen ini betul-betul mendidik pengguna agar berhemat dalam perbelanjaan mereka? Contohnya, jika barang yang diperlukan hanya enam jenis, benarkah enam jenis barang itu yang hanya dibeli oleh mereka?

Kita ambil contoh lagi, jika seseorang itu ke pasar raya yang menawarkan 20 jenis barang yang diturunkan harga, kemungkinan lebih banyak lagi barang yang akan dibeli oleh pengguna tersebut.

Sikap rambang mata pengguna selalunya memudahkan lagi peniaga dalam urusan perniagaan mereka.

Hari Tidak Berbelanja dianjurkan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) sejak 2008 dan ditetapkan pada 16 Julai setiap tahun seiring dengan Kempen Konsumer Kebangsaan 2008–2012.

Hari Tidak Berbelanja diilhamkan seorang artis Kanada, Ted Dave dan rakan-rakannya pada 1992. Di mana-mana negara pun tentunya kempen ini berusaha menggalakkan pengguna mengurangkan perbelanjaan mereka seboleh mungkin. Kita mengadakan pelbagai kempen demi mendidik pengguna agar bijak berbelanja dengan berjimat.

Minggu Tanpa Menonton Televisyen juga diadakan bukan hanya untuk menjauhkan diri kita daripada memerap di rumah berdepan dengan televisyen, tetapi di sebaliknya berharap kita menjimatkan elektrik.

Beberapa bulan lepas, kerajaan Terengganu melancarkan Kempen Teliti Dulu Sebelum Beli. Kempen ini lebih menjurus kepada mengubah sikap pengguna agar berhati-hati ketika membeli-belah di samping menanam sikap menjaga hak sebagai pengguna.

Apapun, pengguna selalunya sukar dikawal atas beberapa sebab. Pertama, taktik peniaga yang licik menjadikan pengguna tertarik dengan pelbagai jenis barang termasuk barang yang sebenarnya tidak perlu.

Di samping itu, berapa ramaikah antara kita yang menyahut kempen Hari Tidak Berbelanja dalam keadaan hidup yang serba mencabar ini?

Jika kebetulan hari berkenaan jatuh pada hari bekerja, mampukah kita berbasikal ke pejabat?

Kita mungkin mampu tidak membeli barang makanan pada hari itu. Kita memang boleh membawa bekalan makanan dan minuman ke tempat kerja, tetapi ramai yang perlu menyedari bahawa sehari sebelum kempen Hari Tidak Berbelanja itu sudah ramai yang mengisi petrol lebih banyak ke dalam tangki, membeli barang makanan dengan kadar lebih daripada biasa kerana tidak mahu membeli pada hari kempen berkenaan.

Dalam pada itu, kita mesti memahami bahawa setiap kempen yang diadakan tidak mendapat sambutan. Ini kerana ada antara pengguna yang tidak kisah dengan sebarang kenaikan harga barang.

Contohnya, golongan berada tidak mengambil kira harga barang naik kerana mereka mempunyai kuasa beli.

Malah, setiap kali kakitangan kerajaan dan swasta mendapat durian runtuh seperti bonus, tabiat berbelanja pengguna berubah sekelip mata. Hal ini menjadikan pengguna lain turut terbeban dan merungut dengan kenaikan harga barang. Di kampung pun, sudah ramai yang boros berbelanja setelah berlaku kenaikan harga komoditi seperti getah dan kelapa sawit.

Tetapi, oleh sebab kita ini mudah lupa dan cepat sangat terpengaruh, terpaksalah kita digerakkan dengan kempen. Hal ini menunjukkan bahawa apa yang berlaku di dapur kita pun kita kena minta orang lain membantu kita.

Menariknya, apabila menjelang Aidilfitri, pelbagai saranan dibuat oleh pelbagai pihak untuk mengekang sikap rakus kita berbelanja. Dalam pada itu, pengguna tidak terlepas pula ‘berperang’ dengan gedung perniagaan yang ghairah mempromosi barang jualan mereka dengan pelbagai kaedah sehingga mampu mengumpul sejumlah besar pelanggan ke premis perniagaan mereka.

Pengguna tentunya menyambut baik Kempen Penurunan Harga Barang mulai bulan depan.

Bagaimanapun, pengguna perlu diingatkan mengenai pentingnya sikap berhati-hati ketika berbelanja.

Pengguna mestilah memastikan barang-barang yang mengalami penurunan harga itu bermutu jika dibandingkan sebelum berlaku penurunan harga. Pengguna juga mestilah memikirkan tujuan membeli sesuatu barang, adakah barang itu benar-benar diperlukan atau tidak.

Pengguna yang bijak adalah pengguna yang sentiasa berjimat dalam semua keadaan dan berterusan tanpa menunggu sebarang kempen. Pepatah lama ada mengatakan ‘beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis’.

Oleh itu kita mesti menyedari bahawa saranan mengenai berjimat-cermat ini bukanlah perkara baru. Malah, dalam al-Quran pun disebut mengenai pentingnya berjimat-cermat atau tidak boros dalam perbelanjaan.

Sumber : MyMetro Online 
             http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Jadilahpenggunabijak/Article

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Walgreens Printable Coupons