Saturday, 19 May 2012

Inisiatif 'Pertahankan Poket Anda'


PETALING JAYA: Pengguna pada asasnya tidak menyedari akan opsyen yang ada di hadapan mereka dan akhirnya terperangkap dalam masalah kewangan pada usia yang muda dan ini semua berlaku hanya kerana satu sebab - mereka tidak dibekalkan dengan pendidikan perbelanjaan atau kewangan yang secukupnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, Datuk Paul Selvaraj berkata, ada kalanya pengguna tidak sedar bahawa mereka sebenarnya mempunyai banyak opsyen sebelum membeli sesuatu barangan atau ketika memohon pinjaman.

“Buat masa ini, ramai eksekutif muda terperangkap dalam masalah kewangan yang serius dan kita berhasrat untuk melihat permasalahan ini dalam usaha untuk mengubah cara sikap berbelanja para pengguna,” katanya.

Pendidikan kewangan atau belanjawan untuk pengguna serta tuntutan kepada perubahan ke atas polisi kerajaan akan menjadi sebahagian daripada perkara yang akan diketengahkan dalam sesi perbincangan meja bulat bertemakan “Pertahankan Poket Anda” yang dijadualkan berlangsung pada 20 September ini.

Perbincangan meja bulat ini adalah anjuran akhbar The Star sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk memberi peluang kepada para pembaca bersama-sama memperkatakan tentang isu-isu yang berkaitan dengan kehidupan seharian mereka seperti kenaikan kos kehidupan pada masa ini dan sebagainya.

“Pertahankan Poket Anda” adalah merupakan salah satu daripada inisiatif ini.

Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, The Star akan menganjurkan beberapa siri program dan juga menyiarkan artikel yang akan memperkatakan tentang isu-isu berkaitan kos kehidupan dan juga belanjawan berhemat yang sudah pastinya bakal menyentuh setiap aspek kehidupan rakyat Malaysia.

Selain Fomca, lain-lain badan atau agensi yang dijangka mengambil bahagian dalam perbincangan meja bulat itu nanti ialah Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan JPM atau Pemandu; Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Persatuan Pengurusan Kompleks dan Pusat Membeli-Belah Malaysia.
Hasil daripada perbincangan itu nanti dijangka akan dapat memberi panduan ke arah bagaimana kerajaan dapat menangani isu kenaikan kos kehidupan dengan lebih baik dan juga menggalakkan perbelanjaan berhemat di kalangan rakyat.

The Star dan mStar Online juga akan turut melancarkan kempen secara dalam talian bagi membolehkan para pembaca turut serta dalam menyokong inisiatif “Pertahankan Poket Anda” ini serta resolusi yang bakal dihasilkan daripada perbincangan meja bulat itu nanti.

Dalam pada itu Selvaraj juga berkata, Fomca akan mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan satu polisi yang dapat membantu mengurangkan bebanan hidup hasil daripada impak kenaikan kos kehidupan buat masa ini.

Fomca juga katanya mahu memberikan fokus yang lebih mendalam ke atas cara-cara atau bagaimana pengguna dapat menguruskan belanjawan mereka secara lebih berhemat dan cermat.

Tambahnya, salah satu langkah yang dapat dilakukan oleh kerajaan ialah dengan memberikan penekanan ataupun pelaburan yang lebih besar ke atas sektor pertanian untuk menjamin bekalan makanan mencukupi dan juga tidak terlalu bergantung kepada pengimportan makanan.

Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan juga perlu menyediakan opsyen yang lebih baik dalam soal pengangkutan awam khususnya di kawasan bandar.

Sementara itu, mereka yang berhasrat untuk menghadiri sesi perbincangan meja bulat pada 20 September nanti boleh menghubungi Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Korporat The Star di talian 03-7967 1388 sambungan 1820/1835/1709.

Sumber : MSTAR Online

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Walgreens Printable Coupons