SEREMBAN 7 Ogos - Penjawat awam di negeri ini diingatkan supaya mengelak budaya belanja berlebihan menggunakan kad kredit sehingga terpaksa berhadapan tindakan undang-undang.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi berkata, pihaknya menerima banyak aduan berhubung perkara tersebut terutama di kalangan pegawai muda.
''Banyak aduan yang kita terima tentang kakitangan kerajaan terutama pegawai-pegawainya yang terlibat dengan penggunaan kad kredit tanpa had.
''Maksudnya mereka berpendapatan kecil tetapi sanggup menggunakan kad kredit untuk berbelanja lebih daripada kemampuan sendiri," kata beliau di sini hari ini.
Kata beliau, setiap pengguna harus mengekang penggunaan kad kredit itu demi memastikan mereka tidak terjebak dengan hutang yang berlebihan sehingga menyebabkan kehidupan menjadi tertekan.
''Ketika berbelanja memang seronok tetapi mereka juga harus menyedari bahawa kadar faedah yang dikenakan juga tinggi. Bila sudah tertunggak, akhirnya mereka cuma bayar faedah. Hendak bayar semuanya, duit tak ada.
''Lebih mengejutkan ada juga yang sanggup meminjam kepada ah long semata-mata untuk melangsaikan hutang tersebut yang seterusnya menjerumuskan mereka ke kancah beban hutang yang lebih buruk," tambah beliau.
Menyentuh tentang aduan penguna, kata beliau, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan negeri dari 1 Januari sehingga 31 Julai menerima sebanyak 247 aduan berhubung pelbagai isu kepenggunaan.
"Aduan yang paling tinggi membabitkan penipuan perkhidmatan iaitu sebanyak 75 aduan antaranya melibatkan kes penipuan pakej haji dan umrah, perkhidmatan teksi dan sebagainya.
"Selain itu penipuan harga barang masih berleluasa di kalangan peruncit dan peniaga di negeri ini dengan 48 aduan yang dibawa kepada pihak berkenaan," jelasnya.
Sumber : Utusan Online
http://www.utusan.com.my/
0 comments:
Post a Comment