Wednesday, 23 May 2012

Personaliti Kuiz

Anda ingin mengetahui personaliti anda? Adakah anda seorang 'kaki membeli-belah' ataupun shopaholic? Mari cuba kuiz personaliti yang telah admin sediakan ini. 









Artikel Pengguna


Pengumpulan artikel pengguna dari pelbagai sumber. Khas untuk pengunjung blog semua. Hanya klik pada link tersebut.

Hak Pengguna Dan Konsumerisme

Secara konseptual, pengguna adalah orang yang menggunakan barang dan perkhidmatan. Mereka menggunakan wang sebagai alat pertukaran untuk mendapatkan barang dan perkhidmatan yang diperlukan oleh mereka.

Sebagai pengguna yang bijak, kita harus mengetahui kelapan-lapan hak pengguna. Apakah hak-hak tersebut? Mari kita ketahuinya :-

1. Hak Untuk Mendapatkan Keperluan Asas
2. Hak Untuk Mendapatkan Keselamatan
3. Hak Untuk Mendapat Maklumat
4. Hak Untuk Bersuara
5. Hak Untuk Mendapatkan Pendidikan Pengguna
6. Hak Untuk Mendapat Ganti Rugi/Pampasan
7. Hak Untuk Hidup Dalam Alam Sekitar Yang Bersih
8. Hak Untuk Memilih Barang/Perkhidmatan

Tanggungjawab Pengguna Pada Diri Sendiri
1. Membeli secara bijak dan rasional
2. Merancang Sebelum Berbelanja
3. Membaca Label Barangan
4. Sedar Dan Peka Tentang Adanya Barangan Tiruan
5. Bertanggungjawab Mendapat Penidikan Pengguna
6. Sedar Tentang Perlindungan Pengguna

Tanggungjawab Pengguna Pada Masyarakat
1. Mempunyai Kesedaran Sosial
2. Menubuhkan Persatuan Pengguna
3. Memberikan Pendidikan Pengguna Kepada Pengguna Lain
4. Menjaga Alam Sekitar

Tuesday, 22 May 2012

Hasil Tumblr

Hasil inspirasi dari Typography. Tajuk, Berhenti Membeli Belah, Mulakan Kehidupan.














Saturday, 19 May 2012

Masa Untuk Berjimat Cermat


KUALA LUMPUR, 19 Julai - Kenaikan tarif elektrik yang diumum kerajaan berkuatkuasa 1 Jun lepas mungkin belum memberi banyak kesan kepada kebanyakan pengguna.
  
Bagaimanapun, mungkin sudah ada yang tidak lena tidur memikirkan cara untuk mengurangkan perbelanjaan dalam menjangkakan kenaikan harga barang dan perkhidmatan, ekoran kenaikan tarif elektrik itu.

Sikap yang positif ini dilihat amat perlu supaya tidak perlu menokok hutang yang mungkin sudah hampir mengelilingi pinggang.

Bagi mereka yang mempunyai keluarga besar, beban kewangan sudah pastinya berlipat ganda. Jika tersilap langkah dalam perhitungan berbelanja, alamat duit gaji atau upah yang diperoleh mungkin hanya cukup menampung keperluan sampai ke pertengahan bulan.

Mungkin ada juga yang baru dapat gaji sudah mengeluh wang yang diperoleh tidak mencukupi dan terpaksa berhutang, melayangkan kad kredit ketika membeli-belah atau mencari pinjaman peribadi daripada ceti haram atau ahlong!

ZON SELESA 
Tidak dapat tidak, langkah yang perlu diambil ialah untuk mengubah suai perbelanjaan "menyediakan payung sebelum hujan" atau "beringat sebelum kena berjimat sebelum habis."

Namun, bagi sesetengah pihak, cakap mungkin lebih mudah daripada untuk melakukannya tambahan apabila membabitkan barang keperluan dan jika tidak mempunyai banyak pilihan.

"Pengguna telah berada dalam keadaan selesa sejak sekian lama kerana harga barang yang boleh dikatakan masih rendah disebabkan oleh pemberian subsidi kerajaan.

"Ketika itu, kerajaan masih mampu untuk menampungnya, jadi tidak ada masalah.

"Namun apabila kerajaan tidak dapat lagi menampung kerana jumlah yang ditanggung adalah besar, maka kerajaan perlu mengkaji semua pemberian subsidi itu," kata Mohd Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi Kumpulan, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) kepada Bernama di sini baru-baru ini apabila diminta mengulas isu semasa kepenggunaan berhubung kenaikan tarif elektrik dan kesan kepada pengguna.

PASARAN GLOBAL
Umum mengetahui Malaysia masih bergantung kepada import bahan makanan mentah.

Keadaan ekonomi yang tidak menentu di peringkat global berpunca daripada ketidakstabilan politik serta perubahan iklim di negara pengeluar bahan makanan mentah akan menyebabkan berlaku peningkatan harga.

"Memandangkan sebahagian besar daripada bahan makanan mentah adalah diimport, dalam kebanyakan keadaan kerajaan tidak dapat mengawal kedudukan harga barang. Hal yang sama juga berlaku kepada bahan api," kata Mohd Yusof.

Rakyat bukan sahaja perlu diperjelaskan tentang mekanisme pasaran dalam menentukan harga barang tetapi juga diberi kefahaman kesan kenaikan harga di peringkat antarabangsa kepada tanggungan subsidi.

"Dalam masa yang sama kerajaan perlu memaklumkan kepada rakyat tentang perancangan kerajaan bagi membantu golongan miskin dan yang berpendapatan rendah termasuk golongan berpendapatan pertengahan yang mempunyai banyak tanggungan apabila satu-satu subsidi itu dimansuhkan.

"Ini termasuk skim mewujudkan skim jaringan sosial yang mantap, penaiktarafan sistem pengangkutan awam yang baik dan bersepadu dan sebagainya," kata Mohd Yusof.

JANGAN HARAP SUBSIDI
Subsidi yang dikeluarkan kerajaan sebenarnya bertujuan untuk membantu golongan sasaran menikmati harga pada paras yang rendah, namun subsidi yang diberikan bersifat menyeluruh yang turut dinikmati oleh golongan berada dan warga asing yang menetap di Malaysia.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan subsidi yang besar apabila berlaku perubahan harga bahan mentah di peringkat global.

Kerajaan menyediakan peruntukan RM23.7 bilion atau 14.6 peratus daripada perbelanjaan mengurus untuk keseluruhan subsidi tahun ini.

Bagi mengekalkan harga runcit petrol RON95, kerajaan terpaksa menambah peruntukan subsidi petroleum, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) sebanyak RM5.6 bilion daripada RM10.3 bilion kepada RM15.9 bilion.

Peruntukan subsidi minyak masak di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak juga ditambah RM700 juta daripada RM928 juta kepada RM1.6 bilion.

Untuk subsidi gula pula, meskipun harga bahan itu dinaikkan 20 sen Mei lalu, kerajaan masih menanggung subsidi gula sebanyak RM283 juta.

HEMAT BERBELANJA
Lazimnya bila menjelang musim perayaan pengguna akan berbelanja lebih daripada biasa. Ada yang merasa tidak lengkap berhari raya umpamanya jika tidak berpakaian baru dan menggantikan peralatan rumah.

Mohd Yusof berpendapat dalam menghadapi keadaan cabaran harga barang yang meningkat, pengguna perlu berhemat dalam perbelanjaan mereka.

"Buat perancangan perbelanjaan terlebih dahulu yang mengikut kemampuan.

"Kumpul wang untuk perbelanjaan musim perayaan pada awal bulan dengan menetapkan matlamat jumlah wang yang diperlukan semasa musim perayaan.

"Ini termasuk perbelanjaan membeli keperluan, makanan, perjalanan pulang ke kampung dan sebagainya," katanya.

Bagi umat Islam yang akan menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan yang menjelang tiba, Mohd Yusof turut mengingatkan supaya mengelakkan pembaziran.

"Banyak berlaku pembaziran di bulan Ramadan termasuk ketika membeli juadah untuk berbuka puasa. Ingat untuk membeli mengikut keperluan sahaja.

"Jika mahu membeli barang keperluan, buat senarai untuk mengelakkan pembelian yang tidak perlu dan bawa wang yang setakat cukup untuk senarai barang yang disediakan," katanya.

SEDARKAN PENGGUNA
Sebagai sebuah pertubuhan kepenggunaan, Fomca, menurut Mohd Yusof sentiasa berusaha untuk memberi kesedaran kepada masyarakat pengguna di negara ini.

Ia termasuk menyedarkan mereka tentang peranan yang boleh dimainkan dalam menghadapi kenaikan harga barang.

Satu daripada usaha Fomca ialah Kempen Konsumer Kebangsaan yang diadakan dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia, Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cupeacs) dan Petronas.

Mohd Yusof berkata tema kempen yang dilancarkan pada 2008 dan berakhir 2012 itu ialah "Perubahan Bermula Dengan Saya."

Fomca juga, katanya, turut mengadakan program jangkauan di peringkat komuniti.

Sebanyak 201 program seumpama ini diadakan di seluruh negara pada 2010 berbanding 171 program pada 2009.

Di samping itu, Fomca turut mengadakan kerjasama dengan Bank Negara Malaysia bagi program Celik Kewangan.

"Program ini diadakan disebabkan oleh masalah golongan eksekutif muda yang gagal menguruskan kewangan mereka sehingga ada yang diisytiharkan muflis.

"Menurut kajian hampir 50 peratus golongan muda yang diisytihar muflis adalah kerana kad kredit," katanya sambil menambah golongan muda ini mungkin terperangkap dengan penggunaan kad plastik ini ketika menuntut di institut pengajian tinggi lagi.

Ramai anak muda, katanya berbelanja mewah dengan kad kredit yang diberi ibu bapa dengan jangkaan mereka akan membayar hutang kad kredit apabila tamat pengajian dan menyandang jawatan tinggi.

"Malangnya ada yang menganggur walau pun sudah ada ijazah di tangan dan terperangkap dengan beban hutang kad kredit," katanya.

BUAT PERUBAHAN
Sesungguhnya pengguna di negara ini semakin perlu meneliti kemampuan kewangan mereka sebelum berbelanja.

Perancangan perbelanjaan dilihat sebagai penting bagi memastikan mereka hanya membeli barang yang benar-benar diperlukan.

Mereka juga perlu melakukan perubahan sebelum berdepan dengan kenaikan harga barang terutama menjelang musim perayaan.

Menanam sendiri sayur-sayuran termasuk menggunakan pasu bagi mereka yang tidak mempunyai kawasan bertanah mungkin dilihat remeh.

Bagaimanapun, jika ia dilakukan bersungguh-sungguh tidak mustahil usaha kecil ini jika diperluaskan dapat membantu mengurangkan perbelanjaan dan menyejukkan persekitaran.

Selain daripada pembangunan fizikal yang mencerminkan sebuah negara maju selaras dengan aspirasi Wawasan 2020, perubahan sikap juga perlu berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Rakyat Malaysia juga perlu menjadi semakin bertanggungjawab serta tahu melakukan pengubahsuaian diri dalam menghadapi sebarang keadaan yang berlaku di sekeliling mereka," kata Mohd Yusof.

Sumber : Bernama
             http://pengguna.blogspot.com/2011/07/masa-untuk-berjimat-cermat.html

Elak Belanja Berlebihan Guna Kad Kredit


SEREMBAN 7 Ogos - Penjawat awam di negeri ini diingatkan supaya mengelak budaya belanja berlebihan menggunakan kad kredit sehingga terpaksa berhadapan tindakan undang-undang.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi berkata, pihaknya menerima banyak aduan berhubung perkara tersebut terutama di kalangan pegawai muda.

''Banyak aduan yang kita terima tentang kakitangan kerajaan terutama pegawai-pegawainya yang terlibat dengan penggunaan kad kredit tanpa had.

''Maksudnya mereka berpendapatan kecil tetapi sanggup menggunakan kad kredit untuk berbelanja lebih daripada kemampuan sendiri," kata beliau di sini hari ini.

Kata beliau, setiap pengguna harus mengekang penggunaan kad kredit itu demi memastikan mereka tidak terjebak dengan hutang yang berlebihan sehingga menyebabkan kehidupan menjadi tertekan.

''Ketika berbelanja memang seronok tetapi mereka juga harus menyedari bahawa kadar faedah yang dikenakan juga tinggi. Bila sudah tertunggak, akhirnya mereka cuma bayar faedah. Hendak bayar semuanya, duit tak ada.

''Lebih mengejutkan ada juga yang sanggup meminjam kepada ah long semata-mata untuk melangsaikan hutang tersebut yang seterusnya menjerumuskan mereka ke kancah beban hutang yang lebih buruk," tambah beliau.

Menyentuh tentang aduan penguna, kata beliau, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan negeri dari 1 Januari sehingga 31 Julai menerima sebanyak 247 aduan berhubung pelbagai isu kepenggunaan.

"Aduan yang paling tinggi membabitkan penipuan perkhidmatan iaitu sebanyak 75 aduan antaranya melibatkan kes penipuan pakej haji dan umrah, perkhidmatan teksi dan sebagainya.

"Selain itu penipuan harga barang masih berleluasa di kalangan peruncit dan peniaga di negeri ini dengan 48 aduan yang dibawa kepada pihak berkenaan," jelasnya.

Sumber : Utusan Online
             http://www.utusan.com.my/

Elakkan Diri Daripada Boros


Allah menyuruh kita cermat dan berhati-hati dalam urusan duniawi, berpesan supaya memanfaatkan sekadar perlu dan meninggalkan keinginan yang terlampau. Paling utama adalah bersederhana dalam berbelanja iaitu tidak boros dan tidak pula kedekut. Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.” (Surah Al-Furqan, ayat 67) Jika diberi rezeki melebihi keperluan dan tanggungan, sedangkan pada masa sama ada orang lain terlalu berhajat dengan keperluan hidup yang tidak mampu mereka peroleh, jangan kita menyorok tangan, membutakan mata serta tidak mengambil endah tanggungjawab sesama manusia.

Ada kala kita hanyalah perantara yang dilantik Allah untuk membantu sesama makhluk kerana sifat amanah yang ada, bukan berhabisan untuk kepuasan sendiri. Tetapi tentu kita rasa terkilan untuk membantu orang yang tidak tahu berjimat cermat dalam urusan hidupnya.
Contohnya, tiada wang simpanan untuk pendidikan anak, kehidupan pada usia tua, waktu kecemasan, bersedekah, mengembangkan syiar agama kerana terlalu bermewah menyebabkan wang habis sekelip mata. Sebaliknya tidak malu meminta wang dengan orang lain atas nama hutang untuk menanggung kehidupan.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Maka bergembiralah dan berharaplah terhadap apa yang mudah bagimu. Demi Allah, bukanlah kefakiran yang aku khuatirkan atas kamu, tapi aku mengkhuatirkan atas kamu jika dibentangkan dunia untuk kamu seperti pernah dibentangkan bagi orang sebelum kamu, lantas kamu berlumba-lumba merebutnya, lalu membinasakan kamu seperti dulu sudah membinasakan mereka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW sendiri tidak terlalu khuatir jika umat Baginda akan menjadi fakir, tetapi takut jika kita tertipu dengan dunia dihiasi isi yang sementara, hanya penyebab untuk kita ke neraka, dan itulah juga penyebab kita ke syurga, jika bijak membuat pilihan.

Cermat dalam urusan dunia adalah keutamaan umat Islam untuk dijadikan contoh kepada bukan Muslim supaya mereka menyedari moral yang sekecil itu boleh memberi untung besar kepada agama.

Tetapi hari ini ramai suami mengabaikan tanggungjawab kepada isteri kerana tipu daya dunia terutama wanita cantik, arak, judi, hiburan melalaikan, kehidupan sosial yang tiada siapa peduli, memungkinkan mereka memilih jalan tidak halal.

Bahkan ada yang kehilangan nikmat Allah kurniakan kepada mereka di dunia iaitu seorang wanita sebagai isteri dan cahaya mata yang tidak Allah kurniakan kepada semua melainkan mereka yang terpilih kerana tertipu dengan kesesatan dunia.

Begitu juga wanita yang bijak, apa juga peranan mereka mainkan di dunia, mereka perlu bertanggungjawab terhadap amanah.

Tentulah umat Islam tidak rela terpedaya kerana mereka diberikan petunjuk oleh Allah supaya menjauhi kesesatan. Orang yang terpedaya ialah orang yang tidak cermat dalam urusan dunia.

Mereka tidak berjimat jika punya wang, tidak rasa beruntung jika ada masa, tidak berhati-hati apabila berbicara, lalu mereka bazirkan semuanya tanpa rasa bersalah, akhirnya mereka muflis di dunia mahupun akhirat.

Salman Al-Farisi pernah datang kepada Abu Bakar As-Siddiq ketika beliau sakit dan menghadapi kematian lalu berkata: “Berpesanlah kepadaku, wahai khalifah Rasulullah. Abu Bakar menjawab: Sesungguhnya Allah membukakan dunia untukmu kerana itu janganlah sekali-kali seorang antara kamu mengambilnya kecuali sekadar bekal keperluannya saja.”

Rasulullah dan sahabat menunjukkan contoh dan mengajarkan kepada umat Islam mengenai amalan berjimat cermat supaya menjadi ikutan hingga ke akhir zaman.

Sifat boros dalam urusan duniawi patut dijauhi kerana ia adalah amalan syaitan. Alangkah indah jika umat Islam hidup dengan penuh sederhana, harmoni sesama kita dan saling memahami serta membantu dalam urusan dunia.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu sangat kufur kepada Rabb-Nya.” (Surah Al-Israa’, ayat 27)

Sumber : Berita Harian Online
             http://berita-harian-online.com/elak-boros-usah-juga-kedekut/

Tips Membeli Belah Jualan Murah


Harga-harga jualan murah belum tentu selalu menjadi harga yang terbaik. Ikutilah tip membeli belah semasa jualan murah.

Baca iklan-iklan jualan murah
Sesetengah pusat membeli belah mungkin mengatakan “quantities limited”, “no rain checks” atau “not available at all stores”. Sebelum anda pergi ke pusat beli belah tersebut, pastikan anda telefon terlebih dahulu untuk yakinkan barang yang anda inginkan ada dalam stok.

Pertimbangkan waktu dan kos perjalanan
Mungkin barang yang anda inginkan terdapat di dalam jualan murah di sebuah pasaraya terkenal. Malangnya pasaraya tersebut terletak agak jauh dari tempat tinggal anda hingga anda memerlukan perbelanjaan yang banyak untuk ke sana seperti petrol, tol dan bayaran letak kereta. Jika dalam keadaan begini adakah anda masih bersusah payah untuk mendapatkan barangan tersebut? Fikirkan sebaik mungkin sebelum anda membuat keputusan

Bandingkan harga
Sejumlah pusat membeli belah mungkin akan menyamakan atau bahkan melebihi harga yang ditawarkan oleh pesaing mereka. Sebelum membeli barang yang dikatakan ditawarkan dengan harga yang murah, buat perbandingan terlebih dahulu. Tidak semua barang yang ditawarkan dengan harga diskaun. Berhati-hati ketika membeli belah

Cari maklumat
Cari maklumat dalam beberapa laman web pasaraya tentang perbandingan harga barang yang dijual secara online. Mungkin harga yang ditawarkan untuk sesuatu barangan yang anda inginkan tidak sama di setiap pasaraya. Apabila anda memutuskan untuk membeli secara online, perhatikan perbelanjaan yang terpaksa anda keluarkan atau waktu penghantarannya.

Pertimbangkan tawaran yang diberikan
Misalnya “beli satu percuma satu” atau “barang percuma bagi setiap pembelian”. Apabila anda tidak memerlukan barangan yang dikatakan diberi secara percuma apatah lagi barang percuma itu membuatkan harga barang anda menjadi lebih mahal, sebaiknya batalkan sahaja hasrat anda untuk membeli barang tersebut. Lebih elok anda membeli barang yang lebih anda perlukan.

Sumber : http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/isu-nasional/178-kepenggunaan/1395-tip-membeli-belah-jualan-murah.html

Perlu Bijak Jika Membeli Belah Melalui Talian


Setiap kali bercerita mengenai cara mudah membeli-belah, pasti ramai menjawab pembelian secara dalam talian. Ia dikatakan lebih selesa dan banyak pilihan berbanding membeli-belah di kompleks beli-belah atau kedai.

Pembelian secara dalam talian banyak menawarkan koleksi fesyen atau peralatan lain dalam negara mahupun produk luar yang dikumpulkan dalam laman web sama bagi menarik perhatian pengguna.
Apabila menyentuh soal pembelian secara dalam talian, topik transaksi bayaran pasti menjadi wadah utama setiap kali ingin mendapatkan barangan digemari.

Jika tidak berhati-hati, pengguna mudah ditipu malah ia boleh menjadi sejarah hitam apabila maklumat nombor akaun atau kad kredit dicuri dan digunakan penjenayah siber.

Penyokong Keselamatan Internet dan Pengarah Perniagaan Pengguna Norton Asia, Effendy Ibrahim berkata, pengguna perlu mempunyai pengetahuan pembelian secara dalam talian, kos yang efektif ketika membeli-belah, cekap dan memastikan proses dijalankan selamat.

“Internet menjadi pilihan membeli-belah kepada pengguna, namun mereka perlu sedar dengan penipuan dalam talian yang kerap terjadi sekali gus merosakkan peralatan digunakan.

“Apabila menjalankan perniagaan dalam talian, pengguna perlu sentiasa mencari pihak ketiga yang diiktiraf bagi memastikan laman web dilayari melalui pengimbas malware untuk memastikan keselamatan peribadi sentiasa terjamin.

“Ia perlu ada sebagai alat memberi amaran terhadap kemungkinan berlaku ancaman berbahaya ketika urusan transaksi antara pembeli dan penjual dilakukan,” kata Effendy yang menyarankan kepada pengguna untuk memiliki pengimbas dalam komputer peribadi (PC) mereka.

Antara sistem keselamatan yang popular kini adalah Norton Internet Security atau Norton 360 yang berfungsi bagi mengenal pasti penipuan laman web dan mengesahkan kesahihannya.

“Melaluinya, pengguna boleh melayari, membeli-belah dan melakukan urusan perbankan dalam talian dengan yakin tanpa mendedahkan diri mereka kepada laman web yang berbahaya.

“Ia perlu diketahui dan dimiliki bagi mereka yang gemarkan aktiviti membeli barangan secara dalam talian. Ini kerana antivirus akan melakukan imbasan e-mel dan mesej bagi mengenal pasti dengan segera terhadap virus yang terdapat di situ, pautan mencurigakan dan lampiran yang dijangkiti.

“Mengenal pasti laman web yang selamat secara proaktif mampu menyekat bahaya daripada laman lain dan menghentikan ancaman sebelum pengguna sempat melayarinya,” katanya.

Norton Safe Web pula adalah alat yang terdapat dalam kedua-dua Norton Internet Security dan Norton 360 yang menawarkan perlindungan pembeli dalam talian dengan amaran.

Ia dapat membantu menyekat laman web yang tidak selamat dan palsu walaupun pengguna hanya melakukan aktiviti mencari.

Ciri-ciri ini menjadikannya mudah bagi pengguna untuk membezakan laman web yang selamat agar terhindar daripada penipuan.

Ia turut menyediakan penilaian tapak visual dalam hasil carian ketika pengguna melayarinya secara langsung ke laman web tertentu.

Oleh kerana sifat ancaman web (seperti memandu sambil muat turun) ia juga akan memberi amaran kepada pengguna sebelum mereka melawat laman web yang mengandungi kandungan berbahaya.

Di samping itu, ia turut menyediakan penilaian keselamatan e-dagang yang membantu pengguna membuat keputusan berdasarkan maklumat mengenai tempat selamat untuk membeli-belah dalam talian.

Selain itu, masalah kecurian identiti kini semakin meningkat dengan penggunaan Internet yang meluas. Pencuri identiti kini mewujudkan program perisian yang berniat jahat untuk mengambil maklumat akaun dan kata laluan pengguna ketika melakukan urusan membeli-belah atau transaksi perbankan dengan bertindak balas memberikan e-mel palsu meminta pengesahan nombor akaun.

Nombor kad kredit juga mampu dicuri dan mereka akan menjual di pasaran haram yang akan membolehkan pencuri di seluruh dunia membelinya serta membuat bayaran pada nombor akaun yang diambil.

Sesetengah mereka menganggarkan, penipuan kad kredit memberi kesan kepada satu dalam 20 pengguna. Walaupun liabiliti kewangan pemegang kad kredit untuk bayaran penipuan terhad, tetapi ia bersebab untuk anda melindungi keselamatan nombor kad kredit masing-masing.

Walaupun ia menjamin anda tidak menjadi mangsa penipuan kad kredit, pengguna perlu berusaha dan berhati-hati untuk melindungi diri daripada terjerumus dengan aktiviti penjenayah siber itu.

Effendy mengingatkan pengguna, program antivirus dan antispyware adalah penting jika gemarkan aktiviti membeli-belah secara dalam talian, urusan perbankan atau mengekalkan maklumat peribadi di dalam komputer anda.

Selain untuk melindungi maklumat, ia juga boleh menghalang komputer daripada kawalan penggodam. Pasang dan kerap kemas kini perisian firewall, antivirus dan penyelesaian antispyware untuk perlindungan menyeluruh.

Walaupun terdapat banyak perkara yang boleh dilakukan untuk melindungi identiti anda, ada beberapa perkara penting yang harus diambil kira.

“Walaupun sentiasa berhati-hati, ia bukan bermakna penggodam tidak dapat menggodam maklumat majikan dan bank, antara sebab penting untuk mengekalkan pengawasan maklumat secara berterusan terhadap akaun serta laporan kad kredit.

“Ini kerana, tempoh yang diambil selama beberapa bulan untuk mengetahui keputusan jika anda menjadi mangsa kecurian identiti. Ketika itu, penggodam sudah berjaya mencuri nombor akaun serta menjalankan urusan pembelian atas nama mangsa,” katanya.

Selain itu, pantau aktiviti ke atas semua akaun kewangan daripada perbankan pelaburan kepada kad kredit. Jika menerima amaran atau laporan institusi kewangan terhadap aktiviti akaun yang luar biasa, maklum balas secepat mungkin kepada pihak bank.

Seterusnya, laporkan jenayah terbabit kepada pihak berkuasa seperti CyberSecurity Malaysia atau Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan.

Sumber : MyMetro Online
             http://www.hmetro.com.my/articles/Perlubijakjikabeli-belahditalian/Article

Adakah Anda Bijak Membeli ?


Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai ramai pembeli-belah tegar menurut KAJI selidik AC Nileson sebelum ini.Maksud yang mudah kepada kaji selidik itu ialah kita pembeli yang kerap membeli.Perkara ini boleh jadi pada satu tahap dan boleh kita terima apabila melihat akan gelagat dan cara rakyat kita membeli barang-barang di gedung atau pasar-pasar.Kenapa kita kerap membeli, tetapi pengguna di negara-negara Barat bukan begitu? Kenapa boleh jadi begitu? Mungkinkah sebab mereka ini tahu selok- belok membeli sesuatu barang dan kita tidak begitu pandai dalam hal ini?
Namun dalam banyak hal, kita patut tahu kenapa terjadi sedemikian.Hakikatnya, semua orang boleh membeli, tetapi persoalannya ialah tahukah kita cara membeli sesuatu barang itu?

Cara membeli yang bijak penting kepada kita sebagai pengguna bijak dan waras.Jangan beli sesuka hati atau dipengaruh untuk membeli.Bukankah telah banyak kita lihat ramai yang berbuat demikian? Berikut ada sedikit panduan apabila kita membeli sesuatu :

  • Fikir sedalam-dalamnya sebelum membeli.
  • Membeli sesuatu bukan permainan dan patut kita belajar cara-cara membeli yang bijak.
  • Jangan beli kerana jiran kita sudah beli dan itu satu tabiat yang kurang bijak (tetapi semakin menjadi-jadi di Malaysia)

Apa yang saya lihat ialah setiap pengguna mempunyai tabiat atau sikap masing-masing ketika membeli-belah.

Ada sebilangan pengguna yang tahu sedikit apabila membeli dan ada pula yang tidak tahu langsung mengenainya. Golongan ini patut belajar dan jika terlambat diri sendiri akan rugi.

Jika anda mempunyai sikap atau tabiat berbelanja yang lebih baik dan mempunyai cara-cara membuat aduan berkesan, ini bermakna anda telah menolong diri anda sendiri.

Sebelum anda pergi membeli-belah adalah lebih elok membuat terlebih dahulu satu senarai barang-barang yang ingin dibeli. Amat penting ialah jangan membeli dengan tergesa-gesa. Mudah kata, dalam menentukan pembelian barang-barang itu berfikirlah dahulu.

Lebih elok tanya dahulu pada diri anda sendiri soalan-soalan seperti ini:

*Apakah yang anda mahu?

*Adakah anda memerlukannya sekarang juga?

*Bolehkah beli lain kali?

*Apakah kegunaannya pada diri anda?

*Berapa banyakkah wang yang sanggup anda belanjakan?

*Haruskah anda membelinya pada waktu itu, kemudian dan sebagainya?

Ingatlah, tidak siapa pun yang terlindung daripada akibat membeli tanpa berfikir terlebih dahulu.

Anda tidak mempunyai hak yang sah untuk menukar barang-barang yang telah dibeli atau mendapat ganti rugi.

Keadaan sama berlaku kalau anda terbeli barang yang salah, membeli-belah tanpa berfikir dahulu, atau anda tidak suka barang yang dibeli itu sesudah sampai di rumah.

Bagaimanapun ada beberapa kedai yang mengembalikan wang anda jika perkara-perkara berkenaan terjadi.

Sesetengah kedai sememangnya menukar barang-barang yang belum terpakai atau barang-barang yang rosak ketika dibeli.

Ketahui segala-galanya tentang barang yang hendak dibeli, terutama sekali apabila anda membeli barang-barang yang penting dan mahal harganya. Bacalah dahulu kertas-kertas panduan yang disertakan.

Sementara itu, sesetengah pejabat pengguna mempunyai beberapa garis panduan untuk membeli belah.

Dapatkan nasihat mereka jika perlu. Bertanyalah pada mereka yang sudah mengetahuinya.

Rakan-rakan, saudara mara, jiran dan pihak ibu bapa boleh memberitahu pihak yang boleh dipercayai, atau perkhidmatan yang bagus dan sebagainya.

Jelajahlah dari kedai ke kedai, bandingkan barang-barang yang dijual di kedai-kedai yang berlainan.

Perhatikan jenis dan bentuknya. Anda mungkin memerlukan sesuatu yang besar atau kecil. Carilah kedai yang paling baik.

Anda tidak boleh menyalahkan sesiapa jika anda membeli sesuatu dengan harga RM37 sedangkan kedai di sebelahnya menjual dengan harga RM23 sahaja.

Periksa dan bandingkan keteranganketerangan tentang jaminan perniagaan. Ini adalah untuk kebaikan anda juga.

Jika anda membeli sesuatu dengan tunai dan anda mungkin dapat kurangkan harga, itu adalah lebih baik.

Pilihlah antara kedai-kedai yang terdapat di sekitar anda dan carilah kedai yang memberi kadar hutang berpatutan.

Jangan mudah terpengaruh dengan penjual yang senang memberi hutang kepada anda.

Ketika membeli jangan biarkan diri anda ditekan.

Anda mesti senang membuat pilihan ketika membeli.

Berfikirlah dengan berhati-hati sebelum membuat sebarang pesanan dari pembekal yang hanya memberi nombor pejabat mereka.

Mereka mungkin sukar dicari apabila anda memerlukannya. Ramai yang telah tertipu.

Apabila anda sudah membeli simpanlah kertas-kertas iklan yang telah mempengaruhi anda untuk membelinya.

Sumber : http://bijakjaya.blogspot.com/2011/01/adakah-anda-bijak-membeli.html

Jadilah Seorang Pengguna Yang Bijak


Pelbagai kempen mengenai kepenggunaan dilancar dan diperkemas dari semasa ke semasa untuk mendidik pengguna mengenai soal perbelanjaan harian mereka.

Kenaikan tidak menentu harga barang di pasaran membuatkan ramai antara kita melatah dan menuding jari kepada kerajaan.

Mendidik pengguna untuk berjimat-cermat bukannya mudah. Persaingan antara peniaga dan pengguna juga sangat hebat.

Gedung beli-belah mempunyai taktik dan teknik tersendiri untuk mendekatkan pengguna dengan pusat perniagaan mereka.

Perlu difahami bahawa selama ini kedai dan pasar raya sering memikirkan pelbagai cara supaya pengguna berbelanja di tempat mereka termasuk mengadakan jualan murah, potongan harga, berhutang cara mudah, iklan, pameran serta susunan barang yang sangat menarik.
Gedung beli-belah pula berusaha memancing pengguna agar lebih lama berada di premis mereka dengan menyediakan ruang luas, selesa, muzik yang menenangkan perasaan, malah tempat permainan kanak-kanak turut disediakan.

Makin banyak masa seseorang itu berada di premis perniagaan mereka, makin banyak jenis barang yang dibelek kemudian dibeli, meskipun ada antara barang berkenaan tidak tersenarai ketika seseorang pengguna itu berada di rumah.

Pengguna yang bijak, berfikir panjang tidak akan terpengaruh dengan segala macam taktik dan teknik peniaga. Mereka tidak perlu diasak dengan pelbagai kempen supaya berjimat-cermat atau mengalami poket kering sebelum hujung bulan.

Kempen penurunan harga barang akan diadakan secara besar-besaran bermula 15 Jun hingga 31 Ogos 2011. Gedung perniagaan diharap bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menurunkan harga pelbagai jenis barang yang ditetapkan untuk membantu pengguna.

Kempen yang akan berjalan lebih dua bulan ini dianggap paling sesuai memandangkan umat Islam akan menyambut Aidilfitri hujung Ogos nanti.

Selalunya, isu utama yang diperkatakan sejak awal Ramadan hinggalah menjelang hari raya ialah kenaikan mendadak pelbagai jenis barang keperluan yang membebankan pengguna.

Bagaimanapun, apa yang dikhuatiri ialah benarkah kempen ini betul-betul mendidik pengguna agar berhemat dalam perbelanjaan mereka? Contohnya, jika barang yang diperlukan hanya enam jenis, benarkah enam jenis barang itu yang hanya dibeli oleh mereka?

Kita ambil contoh lagi, jika seseorang itu ke pasar raya yang menawarkan 20 jenis barang yang diturunkan harga, kemungkinan lebih banyak lagi barang yang akan dibeli oleh pengguna tersebut.

Sikap rambang mata pengguna selalunya memudahkan lagi peniaga dalam urusan perniagaan mereka.

Hari Tidak Berbelanja dianjurkan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) sejak 2008 dan ditetapkan pada 16 Julai setiap tahun seiring dengan Kempen Konsumer Kebangsaan 2008–2012.

Hari Tidak Berbelanja diilhamkan seorang artis Kanada, Ted Dave dan rakan-rakannya pada 1992. Di mana-mana negara pun tentunya kempen ini berusaha menggalakkan pengguna mengurangkan perbelanjaan mereka seboleh mungkin. Kita mengadakan pelbagai kempen demi mendidik pengguna agar bijak berbelanja dengan berjimat.

Minggu Tanpa Menonton Televisyen juga diadakan bukan hanya untuk menjauhkan diri kita daripada memerap di rumah berdepan dengan televisyen, tetapi di sebaliknya berharap kita menjimatkan elektrik.

Beberapa bulan lepas, kerajaan Terengganu melancarkan Kempen Teliti Dulu Sebelum Beli. Kempen ini lebih menjurus kepada mengubah sikap pengguna agar berhati-hati ketika membeli-belah di samping menanam sikap menjaga hak sebagai pengguna.

Apapun, pengguna selalunya sukar dikawal atas beberapa sebab. Pertama, taktik peniaga yang licik menjadikan pengguna tertarik dengan pelbagai jenis barang termasuk barang yang sebenarnya tidak perlu.

Di samping itu, berapa ramaikah antara kita yang menyahut kempen Hari Tidak Berbelanja dalam keadaan hidup yang serba mencabar ini?

Jika kebetulan hari berkenaan jatuh pada hari bekerja, mampukah kita berbasikal ke pejabat?

Kita mungkin mampu tidak membeli barang makanan pada hari itu. Kita memang boleh membawa bekalan makanan dan minuman ke tempat kerja, tetapi ramai yang perlu menyedari bahawa sehari sebelum kempen Hari Tidak Berbelanja itu sudah ramai yang mengisi petrol lebih banyak ke dalam tangki, membeli barang makanan dengan kadar lebih daripada biasa kerana tidak mahu membeli pada hari kempen berkenaan.

Dalam pada itu, kita mesti memahami bahawa setiap kempen yang diadakan tidak mendapat sambutan. Ini kerana ada antara pengguna yang tidak kisah dengan sebarang kenaikan harga barang.

Contohnya, golongan berada tidak mengambil kira harga barang naik kerana mereka mempunyai kuasa beli.

Malah, setiap kali kakitangan kerajaan dan swasta mendapat durian runtuh seperti bonus, tabiat berbelanja pengguna berubah sekelip mata. Hal ini menjadikan pengguna lain turut terbeban dan merungut dengan kenaikan harga barang. Di kampung pun, sudah ramai yang boros berbelanja setelah berlaku kenaikan harga komoditi seperti getah dan kelapa sawit.

Tetapi, oleh sebab kita ini mudah lupa dan cepat sangat terpengaruh, terpaksalah kita digerakkan dengan kempen. Hal ini menunjukkan bahawa apa yang berlaku di dapur kita pun kita kena minta orang lain membantu kita.

Menariknya, apabila menjelang Aidilfitri, pelbagai saranan dibuat oleh pelbagai pihak untuk mengekang sikap rakus kita berbelanja. Dalam pada itu, pengguna tidak terlepas pula ‘berperang’ dengan gedung perniagaan yang ghairah mempromosi barang jualan mereka dengan pelbagai kaedah sehingga mampu mengumpul sejumlah besar pelanggan ke premis perniagaan mereka.

Pengguna tentunya menyambut baik Kempen Penurunan Harga Barang mulai bulan depan.

Bagaimanapun, pengguna perlu diingatkan mengenai pentingnya sikap berhati-hati ketika berbelanja.

Pengguna mestilah memastikan barang-barang yang mengalami penurunan harga itu bermutu jika dibandingkan sebelum berlaku penurunan harga. Pengguna juga mestilah memikirkan tujuan membeli sesuatu barang, adakah barang itu benar-benar diperlukan atau tidak.

Pengguna yang bijak adalah pengguna yang sentiasa berjimat dalam semua keadaan dan berterusan tanpa menunggu sebarang kempen. Pepatah lama ada mengatakan ‘beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis’.

Oleh itu kita mesti menyedari bahawa saranan mengenai berjimat-cermat ini bukanlah perkara baru. Malah, dalam al-Quran pun disebut mengenai pentingnya berjimat-cermat atau tidak boros dalam perbelanjaan.

Sumber : MyMetro Online 
             http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Jadilahpenggunabijak/Article

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Walgreens Printable Coupons